TINGGALKAN JEJAK ANDA :

Tuesday, September 6, 2011

LAPORAN LAWATAN KAJIAN LAPANGAN SCE 3103 MENEROKA BAHAN

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS RAJA MELEWAR
JALAN SIKAMAT, 70400 SEREMBAN,
NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS



LAPORAN LAWATAN KAJIAN LAPANGAN SCE 3103
MENEROKA BAHAN





TARIKH     : 25 – 26 Julai 2011 (Isnin - Selasa)
TEMPAT    : 1) Beryl's Chocolate Confectionary Sdn. Bhd.
                      2) Royal Selangor Pewter Sdn. Bhd.
                      3) Jotun Malaysia Sdn. Bhd.
                      4) Yakult Malaysia Sdn. Bhd.

1.0 PENGENALAN
      Jabatan Sains Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGKRM), bersama-sama para pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Sains Pendidikan Rendah Semester 2 telah mengadakan lawatan Kajian Lapangan SCE 3103 ke Beryl's Chocolate Confectionary Sdn. Bhd, Royal Selangor Pewter Sdn. Bhd, Jotun Malaysia Sdn. Bhd dan Yakult Malaysia Sdn. Bhd yang terletak di kawasan perindusrian Lembah Klang dan Semremban 2. Lawatan tersebut disertai oleh para pelajar PISMP Sains Pendidikan Rendah Semester 2 seramai 18 orang dan pelajar PPISMP Sains Pendidikan Rendah Semester 3 seramai 10 orang serta 2 orang pensyarah pembimbing.
Objektif bagi lawatan kajian lapangan ini adalah untuk memenuhi keperluan kursus (SCE3103) Meneroka Bahan dalam melengkapkan Kerja Kursus Berasakan Ilmu (KKBI) bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Disamping itu, lawatan ini bertujuan membuka peluang kepada guru-guru pelatih untuk mengetahui secara mendalam mengenai proses pembuatan aloi, pembuatan cat dan kegunaannya  serta coklat sebagai bahan makanan manakala Yakult sebagai minuman kesihatan. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan untuk memupuk nilai-nilai murni selain menghargai nikmat ciptaan Tuhan dengan meyelami, menimba pengetahuan  dan mendalami kepelbagaian bahan semulajadi dan buatan serta menanam rasa syukur terhadap nikmat ciptaan tuhan.

2.0 PERJALANAN AKTIVITI LAWATAN
            Pada 25 Julai kami bertolak dari Institut tepat jam 7.30 pagi dengan menaiki bas institut. Dalam perjalanan kami sempat berhenti di Kawasan Rehat dan Rawat Seremban untuk menikmati sarapan pagi bersama-sama para pensyarah. Kemudian setelah selesai kami meneruskan perjalanan ke Beryl's Chocolate Confectionary Sdn. Bhd. Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 2 jam. Kami tiba di Beryl's Chocolate Confectionary Sdn. Bhd. pada jam 10.30 pagi. Setibanya kami disana, kami disambut baik oleh Cik Puvanes Rajasingam iaitu Penolong Pegawai Perhubungan Luar, Beryl's Chocolate Confectionary Sdn. Bhd. Sebelum memulakan lawatan, kami diberi taklimat ringkas berkenaan kawasan kilang dan disitu juga kami diminta supaya tidak mengambil sebarang jenis fotografi dan juga rakaman bergambar.
            Setelah selesai taklimat ringkas tersebut, kami dibawa ke lokasi pertama iaitu ke bilik pameran audio, disana kami ditayangkan dengan sebuah video berkaitan dengan jenis-jenis coklat yang dihasilkan oleh Beryl's Chocolate Confectionary Sdn. Bhd. Selain daripada itu juga, kami didedahkan dengan ramuan serta bahan-bahan mentah yang digunakan untuk meghasilkan coklat tersebut. Kami diberi penerangan secara am berkaitan proses pembuatan coklat secara berperingkat-peringkat mengikut jenis coklat yang hendak dihasilkan. Kami mencatat segala penerangan yang diberikan untuk dimasukan kedalam laporan serta dijadikan sebagai bahan bacaan semasa pameran sains yang akan diadakan nanti.
            Kemudian kami dibawa ke lokasi kedua iaitu Galeri Coklat, disana kami diperkenalkan dengan struktur buah koko secara ringkas dan gambarajah yang menerangkan kaedah tradisional bagi menghasilkan koko daripada biji buah koko iaitu secara fermentasi. Seterusnya, disana juga kami telah diperkenalkan dengan negara-negara pengeluar koko yang utama dan terkemuka seperti Negara Afrika dan Ghana. Kemudian kami didedahkan dengan bahan-bahan ramuan yang digunakan untuk membuat coklat serta proses pembuatan coklat secara berperingkat-peringkat. Menurut Cik Puannis Rajasingam, iaitu bedasarkan kajian yang dihasilkan oleh penyelidik, ‘Mass Coco’ atau Koko Mas adalah bahan yang digunakan untuk menghasilkan coklat hitam, dan coklat hitam terbukti sebagai makanan untuk kesihatan seperti kesihatan jantung dan hati serta dapat mengelakan daripada serangan kanser. Selain itu juga, coklat juga kaya dengan bahan antioksidan yang membantu kesihatan kulit dan peredaran darah serta melambatkan proses penuaan. Manakala mentega koko pula digunakan untuk meghasilkan coklat putih dan coklat biasa yang dijual dipasaran dan ianya terbukti sebagai makanan yang membantu kesihatan kulit dan rambut, akan tetapi jika dimakan berlebihan akan menyebabkan masalah kesihatan seperti obesiti.   
            Seterusnya, kami dibawa ke Bilik Operasi Pembuatan Coklat disana pula kami dapat mengetahui setiap fungsi mesin-mesin yang digunakan dalam proses pembuatan coklat. Antaranya ialah mesin memproses coklat berbola, mesin memproses coklat acuan dan juga mesin pembungkusan coklat berbentuk gula-gula. Selain daripada itu, kami juga diberi penerangan berkenaan produk-produk coklat yang dihasilkan oleh Beryl's Chocolate Confectionary Sdn. Bhd. Antara produk coklat yang terkemuka yang dihasilkan dengan jenama Beryl’s adalah Coklat Tiramisu , coklat berperisa strawberi dan coklat berperisa ‘mint’ . Kemudian, kami terus meluncur ke kedai jualan yang terletak ditingkat bawah berhampiran dengan pintu masuk. Di sana kami tidak melepaskan peluang untuk membeli coklat dengan harga yang murah berbanding coklat yang berada di pasaran luar.
            Setelah tamat sesi lawatan dan pembelian, kami berkumpul semula di Pusat Lawatan Pengunjung bagi sesi penghargaan. Sejurus selepas itu, setiausaha lawatan saudara Muhammad Raheimy Bin Abd Rahman memberikan sedikit ucapan penutup dan penghargaan kepada pihak Beryl's Chocolate Confectionary Sdn. Bhd. secara amnya dan kepada Cik Puannis Rajasingam kususnya kerana memberikan informasi yang berguna sepanjang pelaksanaan aktiviti dan juga ketika lawatan sekitar kawasan Beryl's Chocolate Confectionary Sdn. Bhd.


            Selepas itu, pada pukul 12.30 tengah hari, kami terus menuju ke destinasi yang seterusnya iaitu ke Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta Kuala Lumpur bagi menyempurnakan Solat Zohor dan makan tengah hari bersama-sama para pensyarah. Disana kami mengambil kesempatan untuk merasai suasana sebenar badar metropolitan Kuala Lumpur dan juga menikmati pemandangan Masjid Wilayah  Persekutuan yang cukup mempersonakan, kami juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar kenang-kenangan di sekitar kawasan masjid tersebut.
Kami telah bertolak dari Masjid Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta pada jam 2.05 petang. Perjalanan untuk ke Royal Pewter Selangor mengambil masa selama 45 hingga 60 minit. Dan akhirnya pada jam 2.50 petang, kami telah sampai ke Royal Pewter Selangor. Kami disambut baik oleh pegawai perhubungan luar iaitu Puan Norrelah. Kami telah diberikan taklimat ringkas tentang kawasan kilang, sejarah penubuhan Royal Pewter Selangor, serta serba sedikit latar belakang pengasas Royal Pewter Selangor. Seterusnya, kami dibawa ke tingkat satu iaitu  galeri pameran Royal Pewter Selangor, disana kami dapat melihat dengan lebih dekat rekabentuk arca-arca yang diperbuat daripada pewter, jogkong-jongkong timah dan model alatan yang digunakan untuk mencari bijih timah pada satu ketika dahulu. Di galeri tersebut itu juga, kami amat tertarik dengan satu struktur bangunan yang tinggi berbentuk Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur yang dihasilkan melalui susunan bahan yang diperbuat daripada pewter. Justeru, kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar berlatar belakangkan struktur bangunan yang unik tersebut.

            Kemudian, pada jam 3.15 petang, kami dibawa ke booth demonstrasi yang juga terletak di tingkat satu dimana bersebelahan dengan ruang galeri. Di sini, Puan Norrelah menerangkan bahawa terdapat 3 booth demonstrasi, iaitu yang pertama booth yang menunjukan demonstrasi menghasilkan arca seperti tangkai cawan dan pokok duit yang diperbuat daripada campuran-campuran yang membentuk pewter, manakala booth kedua adalah booth yang menujukan demonstrasi ukiran kreatif pada bahan-bahan pewter tersebut. Antara contoh bahan yang dihasilkan adalah jam dinding, trofi, piala dan cendramata. Ukiran-ukiran tersebut dilakukan secara manual dengan menggunakan mesin khas. Manakala booth yang terakhir adalah booth hiasan pewter daripada hasil ketukan. Ketukan tersebut dihasilkan menggunakan pengetuk khas. Disitu juga kami tidak melepaskan peluang untuk mencuba sendiri bagi menghasilkan hiasan melalui ketukan tersebut. Melalui lawatan ke Royal Pewter Selangor, kami mengambil kesempatan tersebut untuk melihat dengan teliti setiap proses-proses penghasilan bahan-bahan tersebut selain membaca dan mencatit informasi-informasi yang diletakan di sepanjang laluan di dalam gelari tersebut.

Seterusnya pada jam 3.45 petang, kami telah ke bilik jualan barangan yang diperbuat daripada pewter dimana yang berada di tingkat bawah bersebelahan dengan Pusat Lawatan Pengunjung. Di antara barangan yang menarik perhatian kami adalah apabila kami melihat barangan dapur seperti pinggan mangkuk, gelas, cawan dan sebagainya juga dijual selain barangan perhiasan seperti arca, frame gambar, bunga hiasan dan sebagainya.  Di sini juga, terdapat pusat jualan barangan daripada perak oleh Comyns. Kebanyakan barangan dari Comyns berwarna putih keperakan dan bersinar-sinar dan antara barangan yang dijual adalah barangan berbentuk perhiasan seperti arca, cerderamata, dan sebagainya. Bukan itu sahaja, di sini juga terdapat bilik jualan barangan perhiasan wanita daripada emas oleh Royal Selangor Selberan. Setiap barangan perhiasan tersebut dijual dengan harga yang berpatutan dan mengikut standart harga pasaran.
Kemudian pada jam 4.00 petang, kami berkumpul semula di Pusat Lawatan Pengunjung bagi sesi penghargaan. Sejurus selepas itu, setiausaha lawatan saudara Muhammad Raheimy Bin Abd Rahman sekali lagi memberikan sedikit ucapan penutup dan penghargaan kepada pihak Royal Pewter Selangor secara amnya dan kepada Puan Norrelah kususnya kerana memberikan informasi yang berguna sepanjang pelaksanaan aktiviti dan juga ketika lawatan sekitar kawasan Royal Pewter Selangor. Selepas itu, pada jam 4.30 petang, kami tiba di Kuala Lumpur untuk menginap di Rumah Rehat Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) .




Pada 26 Julai 2011, mengikut jadual, kami akan ke Jotun Factory iaitu sebuah kilang cat dan juga kilang Yakult yang terletak di Seremban. Bermula pada jam 9.00 pagi, kami bersarapan pagi di gerai berhampiran bangunan PUSPANITA. Selepas bersarapan pagi, beberapa orang dari rakan kami ke Kedai Buku Dewan Bahasa Dan Pustaka yang diiringi oleh Puan Rugayah dan Encik Fazali. Pada jam 10.15 pagi kami semua berkumpul kembali di PUSPANITA dan bertolak ke Shah Alam pada jam 10.15 pagi. Kira-kira sejam perjalanan iaitu pada jam 11.05 pagi, kami telah sampai ke kilang Jotun Malaysia Sdn. Bhd. yang terletak di Shah Alam. Kami disambut oleh Cik Chin dan dibawa masuk ke Makmal Ujikaji di mana mereka gunakan untuk menganalisis komposisi bahan dalam pembuatan cat. Cik Chin menerangkan peraturan untuk masuk ke kilang itu. Kemudian kami dibahagikan kepada dua kumpulan yang terdiri daripada 15 -13 orang pelajar. Untuk kumpulan pertama, kami bersama  pensyarah Puan Asmah selaku  pensyarah IPRM dan diiringi oleh Encik Hakimi Kwan. Manakala lawatan kedua, mereka diiringi oleh Puan Rugayah, Encik  Fazali selaku pensyarah IPRM dan juga Encik Hakimi Kwan sekali lagi sebagai pengiring untuk lawatan sekeliling kilang.
Pada mulanya, kami ke kawasan yang di panggil Packing Area dan juga Filling Area, di mana semua cat di isi ke dalam bekas-bekas cat dan di pek ke dalam kotak-kotak. Di kawasan ini, hanya terdapat 6 tangki yang mengandungi cat yang telah diproses untuk ditinkan. Tangki-tangki ini berwarna kuning dan juga silver.  Kilang ini hanya menghasilkan 4 warna iaitu merah, biru, putih dan kelabu. Warna-warna ini akan dihantar ke kedai-kedai untuk dicampurkan menjadi warna yang lain mengikut citarasa pelanggan. Encik Kwan menerangkan bahawa terdapat dua jenis cat yang dihasilkan di kilang ini iaitu water based dan solvent based. Water based adalah cat yang dihasilkan daripada air manakala Solvent  based adalah cat yang dihasilkan daripada minyak. Water based adalah sejenis cat yang selalu digunakan untuk mengecat rumah, manakala solvent based adalah cat yang kekal dan perlu menggunakan thinner untuk menghilangkannya. Kesimpulannya, terdapat 2 jenis cat yang dihasilkan di sini iaitu jenis yang larut kepada air dan jenis yang hanya larut pada pelarut seperti thinner. Tangki-tangki ini terdapat penapis untuk menapis bahan yang tidak perlu atau dalam dipanggil unusable substances. Pada tangki ini terdapat level indicator dimana berfungsi untuk menghadkan kuantiti cat perlu dituang ke dalam tin. Encik kwan juga menerangkan bahawa 100,00 liter cat dihasilkan oleh Jotun Malaysia Sdn. Bhd dalam sehari.
Kemudian kami naik ke atas untuk ke kawasan penghasilan yang dipanggil ‘Production Area’. Di sini, Encik Kwan menerangkan bahawa cat-cat  ini terdiri daripada 5 bahan asas iaitu binder, extender, pigment, additive dan juga antiseptic. Di sini,kami dapat melihat bagaimana bahan-bahan ini diadunkan di dalam sebuah mesin yang bercampur dengan semua bahan dan dikacau sehingga sebati. Kemudian kami ke sebuah lagi kawasan di mana kami dapat melihat pelbagai jenis bahan kimia seperti, kalsium karbonat (CaCo3) dan titanium dioksida, ( Ti02). Bahan-bahan ini semua adalah bahan yang bertindak sebagai pigment yang berfungsi dalam memberi warna pada cat-cat tersebut. Akhir sekali, sementara menuggu kumpulan kedua pulang dari lawatan sekeliling kilang, kumpulan yang pertama  masuk ke dalam sebuah makmal ujikaji di mana, ahli kimia kilang tersebut menyukat kelikatan pada setiap sample cat yang telah dihasilkan. Ini bagi memastikan,tiada kesalahan dalam campuran bahan semasa penghasilan cat-cat tersebut. Selesai lawatan di sekeliling kilang, kami kembali ke tempat pendaftaran di mana kami bergambar kenangan bersama.
Pada jam 12.15, kami mula bertolak ke Seremban 2 untuk ke destinasi seterusnya. Sebelum itu, pada jam 1.30 tengah hari, kami singgah sebentar di Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil untuk berhenti berehat bagi menikmati makan tengah hari dan menunaikan solat Zuhor. Pada jam 2.15 petang, kami mula bergerak ke Kilang Yakult. Tepat jam 3.05 petang, kami sampai di Kilang Yakult yang terletak di Seremban 2. Sejurus sampai ke kilang tersebut, kami disambut oleh Cik Shameera selaku pemandu arah kami. Beliau memberikan penerangan mengenai produk-produk Yakult. Kemudian kami dibawa ke atas untuk melihat cara-cara penghasilan Yakult. Sebelum melihat cara penghasilan Yakult di cermin kaca, kami ditunjuk produk-produk Yakult yang dihasilkan di Jepun yang terdiri daripada produk kecantikan  yang dipanggil Probio sehinggalah air minuman seperti yang dihasilkan di Malaysia dan negara-negara lain seperti Singapura, Jepun, Korea, Hong Kong dan Belgium. Beza antara air minuman di Malaysia dan negara-negara ini adalah jenis bekas yang digunakan untuk mengisi air tersebut.
Perjalanan kami sepanjang bilik kaca bermula dengan tempat penyemaian bakteria Shirota. Bilik ini dipanggil bilik semaian. Tempat ini dikawal oleh suhu dan tekanan bagi memastikan tiada jangkitan dan bakteria lain yang menganggu penghasilan bakteria ini. Di makmal penghasilan bakteria ini, hanya seorang pekerja makmal di benarkan untuk bertugas. Ini bagi memastikan tiada sebarang jenis jangkitan yang akan berlaku. Kemudian, kami melalui kawasan yang dipanggil bilik kultur dan pembancuhan. Di sini, susu tepung dicampur dengan gula, glukosa, dan ditapis untuk menghasilkan larutan susu manis.  Susu disterilkan pada suhu yang tinggi pada masa yang singkat bagi membunuh bacteria yang mungkin hadir. Kemudian, 6500 liter larutan susu  manis dipindahkan ke tangki melalui satu sistem injap. Kemudian suhu tangki yang di isi larutan susu cair dikurangkan kepada 37 darjah celcius. Lalu bakteria Lactobacillus casei Shirota ditambahkan. Larutan itu ditapai di dalam tangki tersebut dalam masa lebih kurang seminggu. Kemudian larutan yang telah menjadi pekat dan dipanggil pati, dimasukkan ke tangki simpanan dan disejukkan ke suhu sehingga 2 darjah celcius. Larutan sirap, vitamin-vitamin dan kalsium ditambah dan disimpan di dalam tangki simpanan. 
Seterusnya terdapat sebuah bilik bagi penghasilan botol-botol untuk menyimpan air minuman ini. Botol- botol ini dihasilkan daripada polistrina. Kualiti kebersihan bilik ini amat dijaga bagi mengelakkan jangkitan dari mana-mana bakteria. Untuk mengawal kualiti penghasilan , terdapat sebuah bilik pengawalan kualiti yang mengawal setiap produk yang dihasilkan. Bagi setiap pengeluaran, 150 sampel akan diambil bagi memastikan kualiti minuman ini dijaga. Dalam pengawalan ini, mereka menyemak dari segi kualiti mikrobiologi, komposisi keasidan, sifat-sifat fizikal dan rasa. Dan akhir sekali, di kawasan minuman Yakult dipek, setiap botol diperiksa jika terdapat percetakan yang tidak tepat atau tidak mengandungi straw. Kesemua produk yang mengalami masalah ini akan diasingkan pada suatu bekas khas.
Kemudian selesai melalui bilik-bilik kaca, kami dijemput menghadiri satu taklimat ringkas oleh Cik Shameera megenai sejarah minuman Yakult. Beliau menunjukkan video yang disampaikan oleh Encik Shinoda yang menceritakan mengenai seorang kanak-kanak yang mengalami masalah berkaitan usus pendek. Dan minuman Yakult telah bertindak sebagai penyelesaian bagi kanak-kanak tersebut. Dan diakhir penerangan Cik Shameera, kami diberi minuman Yakult secara percuma.  Manakala di akhir sesi, kami telah diberi peluang untuk membeli minuman ini dengan harga yang lebih murah berbanding di luar. Sebelum pulang,kami mengambil kesempatan untuk bergambar beramai-ramai bersama para pensyarah pengiring. Kemudian, tepat jam 4.30 petang kami telah bertolak ke IPG. Alhamdulillah, pada jam 5.00 petang, kami telah sampai ke Institut Perguruan Raja Melewar dengan selamatnya.
3.0 PENUTUP
            Sebagai penutup, kami sebagai pihak penganjur Lawatan Kajian Lapangan SCE3103 ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan lawatan ini. Antara penghargaan yang perlu diberikan ialah kepada pihak pentadbiran institut kerana meluluskan dan memberi peruntukan dalam  menjayakan lawatan ini. Tidak lupa juga kepada Ketua Jabatan Sains yang juga menyokong lawatan ini diadakan. Seterusnya, sekalung penghargaan diucapkan kepada pensyarah pembimbing kerana sudi untuk menyertai dan menjayakan lawatan ini. Segala bantuan dan dorongan daripada semua pihak dalam menjayakan lawatan ini samada secara langsung ataupun tidak langsung didahului dengan ucapan terima kasih. Sekian.

Disediakan oleh,

(NOR AFFANDI BIN KHIRUDDIN)
AJK Laporan dan Refleksi
Kajian Lapangan SCE3103
Meneroka Bahan


(NURUL AIN ZAFIRAH BINTI NOR AIZI)
AJK Laporan dan Refleksi
Kajian Lapangan SCE3103
Meneroka Bahan

1 comment:

  1. Casino Tycoon (Mapyro)
    Casino 김제 출장안마 Tycoon 안양 출장샵 is a casino game featuring real money games, such 익산 출장안마 as roulette, blackjack, craps and others. All you 평택 출장마사지 have to do is follow 청주 출장마사지 the layout in

    ReplyDelete