TINGGALKAN JEJAK ANDA :

Sunday, September 11, 2011

PBS II (S.K. SERI MANJUNG)

LAPORAN PENGALAMAN BERASAKAN SEKOLAH (PBS)
SEKOLAH KEBANGSAAN SERI MANJUNG, PERAK
5 – 9 SEPTEMBER 2011



PENDAHULUAN
Pada September, semua pelajar daripada kumpulan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) semester 2 telah ditugaskan untuk menjalankan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di sekolah-sekolah rendah yang telah dipilih selama seminggu bermula pada 05 September hingga 09 September 2011 bagi. Tugasan ini adalah wajib bagi setiap pelajar-pelajar PISMP semester 2 dan merupakan PBS kedua yang dilaksanakan bagi kumpulan kami.
Tujuan perlaksanaan PBS adalah untuk memberi pendedahan awal kepada guru pelatih mengenai suasana persekitaran di sekolah, budaya sekolah, dan iklim di sekolah di samping membina sikap positif terhadap profesion perguruan. Selama berada di sekolah, kami dikehendaki mendapatkan seberapa mungkin maklumat mengenai sekolah yang dipilih melalui pemerhatian, temu bual, soal selidik dan sebagainya bagi menyempurnakan tugasan berdasarkan Sains Pendidikan Rendah
Saya bersama tiga orang rakan telah memilih Sekolah Kebangsaan Seri Manjung (SKSM), Seri Manjung, Perak untuk menjalankan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS). Guru besar sekolah yang diterajui oleh Encik Zahidi Bin Zulkiffli telah berjaya membawa sekolah ini ke satu tahap yang lebih tinggi selaras dengan visi dan misi sekolah tersebut. Beliau banyak berusaha dan mempunyai cara tersendiri yang lain daripada peneraju-peneraju pentadbiran yang sebelumnya bagi melonjakkan kecemerlangan SK Seri Manjung.


PERJALANAN AKTIVITI
Hari Pertama: Isnin / 5 September 2011
Pada hari pertama, saya dan rakan-rakan telah tiba ke sekolah pada pukul 7.30 pagi. Pada setiap hari Isnin perhimpunan pagi akan diadakan, semua murid-murid akan berkumpul di dataran perhimpunan bagi mendengar maklumat dan nasihat-nasihat yang hendak disampaikan oleh para guru. Pada perhimpunan pagi tersebut kami telah dijemput oleh guru bertugas untuk berucap bagi memperkenalkan diri dan menceritakan serba sedikit lakar belakang pendidikan dan jurusan yang diambil. Seterusnya, setelah tamat perhimpunan, saya dan rakan-rakan pergi ke pejabat untuk melapor diri. Saya bersama tiga orang rakan telah disambut baik oleh guru penolong kanan satu sekolah tersebut, Pn. Hajah Normah Binti Mahamad. Beliau telah banyak memberikan nasihat kepada kami. Beliau juga memberitahu kami akan masalah yang bakal dihadapi oleh bakal guru. Beliau mangalu-alukan kedatangan kami dan meminta pandangan jika terdapat sebarang idea untuk penambahbaikan sekolah tersebut. Beliau juga tidak lokek untuk berkongsi pengalaman yang diperolehinya sepanjang beliau menjalani kehidupan sebagai seorang guru dan pendidik.
Dalam pada itu, kami juga diberikan seorang guru pembimbing iaitu Puan Khairul Basyar. Puan Khairul Basyar merupakan ketua panitia Sains di sekolah ini. Beliau merupakan guru yang sangat baik dan mempunyai sifat yang pemurah. Beliau mengambil berat setiap perkara yang berkaitan dengan kami. Beliau akan membantu kami sedaya upaya bagi mendapatkan maklumat sebaik mungkin untuk dimasukan dalam penulisan tugasan yang diberikan oleh pihak institut.
Disamping itu, sepanjang  lima hari semasa menjalani tugasan pengalaman berasaskan sekolah, saya dan rakan-rakan ditempatkan di pusat sumber sekolah. Pusar sumber sekolah terletak berhmapiran pejabat iaitu di tingkat dua. Pusat sumber sekolah ini dilengkapi dengan bilik akses bagi kemudahan para pelajar. Bilik askses ini diwujudkan bagi menerapkan budaya ICT dalam kalangan murid-murid supaya dapat melahirkan murid-murid yang celik IT. Dalam pada itu, kami tidak melepaskan peluang untuk berkenalan dengan guru pusat sumber iaitu Puan Azurawaty Binti Abu. Beliau seorang guru yang peramah dan mudah mesra dengan guru-guru lain. Beliau juga sangat murah dengan senyuman dan seorang yang ceria.
Selain itu, kami juga diberi peluang untuk memerhati keadaan sekitar sekolah dan juga suasana serta iklim pembelajaran dalam sekolah. Kami memerhati dan mendapati sekolah ini hampir lengkap kemudahan prasarananya. Sekolah ini dilengkapi dengan tiga blok untuk kelas, sebuah kantin, sebuah pusat sumber, sebuah bilik tayangan, sebuah makmal komputer, sebuah makmal sains, serta bilik guru untuk guru lelaki dan guru perempuan. Sekolah ini juga menyediakan kelas pra sekolah dan kelas pemulihan.
Selain itu, sekolah ini juga mempunyai ciri-ciri 3K yang disarankan oleh kementerian sekarang ini. Antaranya adalah aspek kebersihan, keceriaan dan juga keselamatan. Tiga aspek ini diterapkan melalui suasana pembelajaran yang kondusif, prasarana yang bersih di samping aspek-aspek keselamatan dititikberatkan. Contohnya, sekolah ini mempunyai pondok kawalan keselamatan iaitu di pintu masuk sekolah. Selain itu, sekolah ini juga mempunyai taman herba dan juga pokok-pokok bunga di sekitar sekeliling kawasan sekolah.
Hari Kedua: Selasa / 6 September 2011
Pada hari kedua, kami telah meninjau keadaan murid-murid di sekolah tersebut. Hari selasa merupakan hari berbahasa Arab. Seawal pagi, guru bertugas akan meminta seorang murid untuk membacakan satu istilah bahasa Arab dengan menggunakan microphone dan akan didengar oleh semua warga sekolah. Guru yang bertugas juga akan meminta murid-murid untuk menyalin perkataan baru bahasa Arab tersebut. Setelah selesai mengumumkan istilah bahasa arab tersebut, guru sekali lagi meminta murid tersebut untuk membaca doa dan doa tersebut akan diaminkan oleh seluruh warga sekolah. Selain itu, beberapa pesanan penting akan disampaikan oleh guru bertugas. Kemudian, semua murid-murid akan beratur dengan kemas sebelum masuk ke kelas masing-masing untuk memulakan sesi P&P mereka.

Setelah menandatangani buku kehadiran guru, saya dan rakan-rakan terus ke kawasan padang untuk memerhati aktiviti pengajaran dan pembelajaran kelas pendidikan jasmani oleh guru kepada murid-murid. Sebelum itu, kami terlebih dahulu meminta kebenaran daripada Encik Mohd Radzi Bin Mohd Wazir untuk menangkap gambar dan memerhati kaedah pengajaran beliau. Bedasarkan pemerhatian yang dibuat saya dapati bahawa semua murid yang menjalankan aktiviti pendidikan jasmani tersebut berasa sangat seronok dan mereka akan bergerak aktif pada waktu pagi, justeru murid-murid tersebut akan sentiasa berasa segar semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah pada waktu yang berikutnya. Antara permainan yang dimainkan oleh murid-murid semasa aktivit pendidikan jasmani tersebut adalah permainan bola sepak, bola jaring, bola baling dan juga kriket.
Selepas selesai aktiviti pendidikan jasmani. Saya dan rakan-rakan terus menuju ke kawasan kelas pra sekolah. Panorama kawasan kelas pra sekolah sangat ceria dengan tanam-tanaman hiasan, mural yang berwarna warni serta hasil-hasil kraf yang menarik. Semasa lawatan kami ke sana, kanak-kanak pra sekolah sedang bergotong-royong untuk membersihkan kawasan kelas dan menanam pokok-pokok renek. Kelihatan kanak-kanak tersebut sangat teruja dengan kedatangan kami, mereka sangat mesra dan ceria. Mereka juga sangat seronok apabila bergambar bersama-sama kami.
Kemudian, setelah bermesra bersama kanak-kanak pra sekolah, saya dan rakan-rakan terus menuju ke makmal komputer yang berdekatan dengan kawasan kelas pra sekolah tersebut. Semasa di makmal komputer kami mengambil peluang untuk menangkap gambar dan melihat dan membaca informasi-informasi yang diletakan pada dinding dan pameran mini. Selain daripada itu, kami juga melihat modul-modul pengajaran ICT yang diajarkan pada murid-murid. Kebanyakan modul ICT yang diajarkan pada murid adalah pengetahuan asas berkenaan komputer dan perisiannya.
Pada pukul 10.00 pagi kami terus menuju ke bilik kauseling, disana saya sempat untuk bertemu bual bersama guru bimbingan dan kauseling. Saya berpeluang bertanyakan serba sedikit tentang langkah-langkah yang terbaik yang dilakukan oleh guru tersebut dalam menyelesaikan masalah pelajar. Beliau muarah dengan ilmu dan sangat senang untuk berkogsi berkenaan ilmu kauseling yang diperolehinya semasa beliau menuntut ilmu dahulu.
Hari Ketiga: Rabu / 7 September 2011
            Pada hari ketiga, kami tetap menjalani aktiviti PBS seperti biasa. Pada hari ini kami berkesempatan untuk membantu guru pusat sumber iaitu Puan Azurawaty untuk menceriakan pusat sumber sekolah. Kami telah bekerjasama untuk mengantung frame gambar di tempat yang sesuai, menyusun perabot dan sebagainya. Selepas itu juga kami berjumpa dengan Puan Khairul Basyar untuk bertanyakan beberapa soalan berkenaan dengan tugasan sains yang diberikan semsa PBS. Beliau memberikan keterangan yang jelas dan berkongsi tips-tips untuk melakukan tugasan tersebut.
Hari Keempat: Khamis / 8 September 2011
Pada hari keempat, kami diberi peluang untuk memerhati keadaan kelas dan waktu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P). Kami telah diberikan peluang untuk memasuki kelas 4 H waktu Sains. Guru yang mengajar kelas tersebut ialah Puan Roziha Binti Dahaman. Semasa beliau mengajar dihadapan saya dan rakan-rakan duduk dibahagian belakang bilik darjah untuk memerhati langkah-langkah, strategi-strategi yang dilakukan oleh guru tersebut untuk dimasukkan dalam penulisan kajian. Hal ini kerana, pada semester ini kami diberikan tugasan subjek major iaitu sains semasa menjalani PBS. Tugasan yang diberikan adalah meminta pelajar untuk memerhati cara atau kaedah penyampaian guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Ketika itu, Puan Roziha akan mengajar subjek penyelesaian masalah dengan menggunakan teknologi sains.
Selain dari itu, semperna sambutan hari kebangsaan yang ke 54, murid –muird diminta untuk menghasilakan poster yang bertemakan Satu Malaysia dan Jalur Gemilang. Kemudian poster yang terbaik akan dipilih untuk dipamerkan di dalam pusat sumber. Kami membantu guru pusat sumber untuk menceriakan pusat sumber dengan menampal poster-poster tersebut di ruangan kosong seperti di rak, atas meja dan sebagainya. Setelah selesai menampal poster tersebut kam berasa sangat gembira kerana keadaan menjadi ceria dengan penuh warna-warna Jalur Gemilang.
Setelah selesai membantu guru pusat sumber, kami berjumpa Puan Zahara untuk mendapatkan data-data sekolah seperti bilangan guru, bilangan murid, Gred sekolah dan sebagainya. Puan Zaharah merupakan ketua pembantu tadbir sekolah. Beliau merupakan orang yang peramah dan sangat rajin. Walaupun sibuk dengan urusan kerja, beliau tetap meluangkan masa untuk membantu kami bagi mendapatkan data-data untuk dimasukan dalam laporan PBS.
Pada waktu malamnya pula, satu Majlis Solat Hajat dan bacaan Yassin telah dianjurkan oleh pihak sekolah kepada waris murid darjah enam semperna Peperiksaan UPSR yang bakal ditempuh pada minggu hadapan. 
Hari kelima: Jumaat / 9 September 2011
            Hari ini merupakan hari terakhir saya menjalani PBS, terasa tidak  mahu meninggalkan sekolah ini. Pada hari ini, saya dan rakan tiba di sekolah pada pukul 7.30 pagi. Pada awal pagi, satu taklimat untuk pelajar yang akan menduduki UPSR telah diadakan di dataran perhimpunan. Setelah selesai sesi takilmat, satu majlis bacaan yasin diadakan di surau sekolah. Saya dan rakan mengambil kesempatan ini untuk melihat sendiri bagaimana para guru mengendalikan program sebegini agar dapat dimanfaatkan kelak.
Seterusnya, saya telah ke bilik guru bagi mendapatkan maklumat mengenai tutor saya dan bergambar dengan beliau bagi dimuatkan ke dalam tugasan PBS saya. Semasa di bilik guru, saya turut berjumpa dengan guru-guru lain yang antaranya pernah mengajar saya ketika saya bersekolah di sini suatu ketika dulu. Mereka sedikit sebanyak berkongsi pengalaman mereka semasa mengajar di bilik darjah yang dihuni oleh murid-murid yang pelbagai ragam dan telatah. Para guru tersebut juga telah memberi beberapa tips dan nasihat tentang kaedah dan cara yang sesuai semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.
Saya kemudian ke pejabat sekolah bersama rakan-rakan lain bagi mendapatkan beberapa tandatangan dan maklumat tambahan yang sepatutnya dari pihak pentadbiran sekolah. Antaranya, saya mendapatkan tandatangan guru penolong kanan pentadbiran bagi mengesahkan kehadiran saya menjalani PBS di sekolah ini selama lima hari. Saya turut mendapatkan beberapa lagi tandatangan antaranya daripada guru pusat sumber, guru panitia sains dan ketua pembantu tadbir.
            Tempoh berada di sekolah ini saya rasakan amat singkat, banyak lagi perkara belum saya terokai dengan lebih mendalam. Tuntasnya, apa yang boleh saya katakan mengenai sekolah ini, saya dapati sekolah ini amat menitikberatkan keseimbangan dalam diri setiap pelajarnya. Tidak hairanlah sekolah ini memperoleh anugerah kerana peratusan pelajar yang mendapat 5A dalam UPSR sangat tinggi. Pihak pentadbir menyediakan pelbagai program dan aktiviti bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, antaranya ialah bacaan Yassin dan sebagainya.
PENUTUP
Banyak pengalaman dan pengetahuan baru yang kami peroleh semasa menjalani PBS di sekolah tersebut. Sebelum pulang, kami berjumpa dengan pihak pentadbiran untuk mengucapkan terima kasih atas segala maklumat, pengalaman dan bantuan yang telah diberikan. Berdasarkan pendapat peribadi saya, Sekolah Kebangsaan Sri Manjung telah banyak mengalami proses transformasi baik dari segi pengurusan, pentadbiran, guru-guru dan seterusnya murid-murid. Banyak penambahbaikan yang dilakukan oleh guru besar dalam memastikan sekolah tersebut mencapai visi dan misi yang telah termaktub dalam perlembagaan sekolah.

Disediakan Oleh,

(NOR AFFANDI BIN KHIRUDDIN)
Guru Pelatih
Ipg Kampus Raja Melewar
Seremban, Negeri Sembilan


1 comment:

  1. hai...anta je la blog ni kat lect
    kom[em msrksh pnuh
    hshshsh

    ReplyDelete